Monday, January 7, 2013

The Clog Werl

Semalam, pulang dari kerja dengan jam dan segala, aku sampai di Desa Tasik sekitar pukul 7.30mlm. Kedai hardware yang aku tuju sudah tutup. Nyonya di kedai sebaneka suruh aku cepat-cepat pergi ke deretan kedai di hadapan, katanya ada satu lagi di sana dan kalau itu tutup di sebelah atas berhampiran pasar basah tu ada satu lagi.

Aku pun pergi, kedai di depan tu pun tutup, aku masuk kedai perabot di sebelahnya tengok almari buku, saiz 4 kaki lebar yang ada cermin RM450, yang tanpa cermin RM350. Alang-alang, sekarang dah tau harga almari buku, samada nak yg bertutup atau tidak. Aku dah sakit mata tengok kotak berlonggok-longgok dalam bilik buku tu.

Dan aku pergi ke blok kedai berhampiran pasar basah tu, pun tutup juga. Aku pergi juga ke beberapa kedai yang berkemungkinan ada menjualnya, pun tak ada. Aku ambil keputusan untuk ke Giant, mana tau aku akan berjumpa sesuatu, sekurangnya bolehlah meredakan perasaan rimasku sikit.

Di Giant aku jumpa beberapa botol berbagai jenama. Nyatalah benda ini bukan asid dengan kepekatan 33% seperti yang dicadangkan oleh Epong. Aku tak jadi beli. Aku bercadang hendak ke kedai hardware di Desa Tasik seperti yang dicadangkan Ongah. Moga-moga aku berjumpa dengan asid pencuci mozek dengan kepekatan 33% itu.

Penat yang teramat, aku pulang saja. Pagi-pagi esok aku akan ke kedai hardware tu semula sebelum pergi kerja.

Pagi tadi aku ke sana semula. Kedai yang di hadapan telah buka. Aku masuk dan bertanya. Asid yang aku cari tak ada. Yang ada hanya berbagai-bagai jenama clog remover. Aku minta yang paling kuat, dia tunjukkan satu botol. Aku tau ini bukan yang aku cari, tapi aku beli juga 2 botol, sebagai usaha aku sebelum memanggil plumber atau minta Ongah belikan asid tu. Cina tu kata, clog remover tu kuat juga, kalau kena kain pun boleh tembuk.

Dari maklumat kawan-kawan, kos mengupah plumber juga adalah sangat mahal, sekitar RM300 juga. Apa nak buat, kalau dah terpaksa kena lah panggil juga.

Ingat balik dari kedai tadi nak tuang terus, sekali aku tengok masih ada air dalam saluran tu, mak kata nanti dia keringkan, aku pulak nak pergi kerja. Balik nanti lah tengok apa ceritanya. Aku ada 3 hari nak selesaikan masalah. Aku nak guna dapur hujung minggu ni huhu.

Sunday, January 6, 2013

Paip Dapur Tersumbat

Sudah lebih kurang 2 tahun aku selamat dari masalah ini. Tapi pulang dari kerja jumaat lepas, ia berulang lagi. Sabtu aku ke kedai hardware untuk beli asid, tapi apek tauke tu cadangkan aku guna Kleen Max yang dalam bentuk serbuk, dia kata itu lebih kuat dan berkesan, harga RM19.80.

Sampai rumah aku terus tuang dalam lubang paip tu, boleh nampak ketulan-ketulan lemak naik terapung. Aku biarkan dan tambah lagi serbuk tu dari masa ke masa. Esoknya air dalam paip tu susut. Aku cuba guna sinki, basuh 4 biji gelas dan air naik semula. Aku tuang semua belen serbuk tu (dalam setengah botol jugak lah) - tak ada apa-apa berlaku. Tiba-tiba rasa gatal nak tuang klorox.  Aku pun tuang dalam segelas klorox, wah tindak balas kimia berlaku agaknya, air tu surut dan naik, surut dan naik... tapi lepas tu tak surut-surut, dia kekal macam tu sampai hari ni.

Sepanjang masa aku asyik fikirkan apa aku nak buat dengan ketersumbatan itu... grrr... sangat-sangat geram. Aku cuma membayangkan ada seketul bahan kimia yang aku boleh masukkan kat dalam paip tu dan bahan kimia tu akan hancurkan segala benda yang menyumbat saluran paip tu. Tapi apakah bendanya?

Hari ni aku gugel, jumpa satu benda bernama "soda batu". Kena letak benda tu dan tuang air panas betul2 menggelegak ke dalam tu. Itu pun tak tahu lah mujarab ke tidak. Aku belum beli dan belum cuba.

Malas nak panggil maintenance betulkan. Beberapa bulan dulu paip jiran atas rumah aku yang tersumbat, maintenance ada talifon nak mintak masuk rumah nak betulkan, tapi masa tu aku tak ada kat rumah belum balik kerja, aku minta dia datang sabtu, tak pula dia datang. Agaknya dapat diselesaikan lah tu.

Tak senang hati betul memikir paip tersumbat tu, rasa nak balik je selesaikan masalah tu.

Tuesday, August 14, 2012

Kering

puisi itu dan aku
serasa sudah lama kering
sudah lama aku sandarkan pada alasan-alasan
kesibukan
kurang tumpuan
kurang kesungguhan
dan kelelahan mengatur hidup
banyak serabut dan kabut
dalam hutan batu ini

pada alasan-alasan yang membuatkan
setiap kata itu jadi batu... keras dan tak terbentuk
setiap kata jadi air... hanya membasahi dan kemudian mengering
tak berbekas
setiap kata jadi angin... menyapa dan mendinginkan seketika kemudian berlalu
setiap kata jadi detik... yg hanya mengungsi ruang yang telah berlalu dan tak bisa kupegang, tak bisa kutahankan... tak bisa ku abadikan...

dan...

moga aku segera segar
kembali hijau dalam merona maksud wujud
dan kembali menjadi indah... seperti dahulu :)

Thursday, February 23, 2012

Terhadang

Dari atas aku sudah nampak, keretaku di hadang oleh sebuah kereta bewarna hitam. Setelah melirik beberapa kali aku nampak sekeping kertas putih diselitkan pada penyapu cermin kereta.

"Hai orang ni pun satu, dah tau blok kereta orang bangunlah awal pagi dan alihkan" bicaraku dalam hati. Jujur aku tak kisah pun kalau ada yang terpaksa meletak kereta dengan cara menghadang keretaku, kerana masalah meletak kereta bukanlah perkara baru, tapi sendiri mau ingatlah untuk awal-awal alihkan dengan mengambil kira orang yang kita hadang itu mungkin mahu menggunakan keretanya seawal pagi.

Sampai aku ke kereta ia masih tidak dialihkan dan kertas putih siap diletakkan dalam plastik bertulis dalam bahasa Inggeris "Sorry to block your car, unfortunately I've left the key inside the car. 01A-ABC DEFG - NamaDia".

"Berhemah juga nampaknya orang ini" getus hatiku sambil mencapai talifon dan mula mendail, sambil tu hati berbisik nakal "Bagus juga kalau dia ni handsome... hahaha". Lama juga dia mengambil masa untuk mengangkat talifon, suara seperti baru bangun tidur menjawap "Saya boleh turun, tapi masalahnya kunci dah tertinggal dalam kereta". Aku jawap dengan baik "Tak apalah, awak turunlah dulu kita tengok apa yang boleh kita buat".

15 minit berlalu. Tak ada kelibat manusia yang boleh kukaitkan dengan kereta hitam yang menghadang di depanku pun. Aku dail lagi nombor itu. Lama... baru dia angkat, kali ni suara dah bertenaga sikit, dah mandi agaknya. Aduhai, tak payah lah mandi ke, sarapan ke, aku nak cepat pergi kerja ni. "Saya dah nak turun dah ni." Ok aku tunggu.

15 minit lagi berlalu. Kesabaranku mula menipis. Pekerja-pekerja yang mulai sibuk menyudahkan Rumah Kelab yang diubah suai sudah dua tiga kali menjeling. Aku dail nombor dia sekali lagi. Talian tidak bersambung, hatiku mulai menggerutu, "Dia matikan talifon ke? Memang nak kena budak ni!" Aku nampak seorang pengawal keselamatan lalu sambil melihat-lihat pekerja taska berdekatan menyiapkan tempat di sudut tempat letak kereta mungkin untuk acara sukan kanak-kanak taska tersebut. Aku hampiri pengawal keselamatan yang rupanya seperti hero Hindustan itu, dia tidak handsome ok huhu.

Merasakan dia orang asing (dari raut wajahnya) aku mula bercakap dalam bahasa Inggeris, mungkin juga terpengaruh dengan nota tuan punya kereta hitam itu agaknya. Kalau tuan kereta tak datang, aku nak minta pengawal keselamatan mengunci sahaja tayar kereta itu. Sedang aku menerangkan tentang apa yang berlaku, aku melihat kelibat tuan punya kereta hitam itu berjalan menuju ke arah kami.

Oh lupakan pasal handsome ke apa, semua tu hanya wujud dalam drama dan filem, terutama filem Hindustan ok.

"Sorry kak."
"Apsal lah lambat sangat turun, setengah jam saya tunggu, saya nak pi kerja ni". Aku cuba memadam kemarahan yang baru nak mula tu dengan senyuman. Aku tak mahu pagi Jumaat yang indah ini tercemar oleh kemarahan yang tak berbaloi pun. Tak sempat apa kelibat seorang perempuan berpewatakkan moden muncul dalam scene itu.

"Mintak maaflah ya, anak saya tertinggal kunci dalam kereta, kitorang pun semalam sampai pukul 6 lebih cuba... tapi tak dapat".

"Erk... kalau pukul 6 petang, aku masuk parking pun dah pukul 7.30malam. 6 pagi kut" bicara hatiku sendiri.

"Rasanya boleh keluar ni" kata perempuan itu lagi.

"Saya memang tak pandai nak keluarkan ni, saya bawak kereta lurus-lurus je" kataku sambil sengih-sengih.

"Biar saya cuba" kata perempuan yang membahasakan dirinya akak itu.

"Ha boleh tu..." kataku sambil menghidupkan enjin kereta.

Dengan beberapa kali pusingan stereng keretaku sudah hindar dari masalah. Bebas. Kami bersalaman. Dia beberapa kali meminta maaf, aku balas dengan ramah, "Tak apa kak, saya juga minta maaf" (sebab tak boleh nak keluarkan kereta walaupun ia tidaklah sesusah mana). Dan aku menuju pejabat sambil senyum-senyum gembira. Macam-macam perjalanan hidupkan? Dan aku tak mahu mencacat-celakan permulaan hari seindah itu dengan amarah yang boleh saja dibendung. :)

Friday, January 6, 2012

Kata Bisu

Kata-kata selalu bisu ketika aku tiba di sini. Mungkin aku lebih suka menyimpan semuanya untuk diri sendiri. Kerana itu ia tidak lagi lahir mengalir seperti masa lalu. Pengalaman pahit dalam hidup membuatkan aku lebih selesa menyimpan segala sesuatu hanya untuk diri sendiri sahaja. Ketakutan telah mendaki tangga jiwa, jika apa yang kukongsikan kelak menjadi sumbu pada api-api yang membakar raga. Demikian kukunci sahaja kotak fikiran sehingga aku sanggup menumpahkannya dan tidak menghiraukan dengung-dengung yang terhasil dari rasa prihatin yang tidak bertampuk.

Wednesday, November 16, 2011

Thursday, September 15, 2011

Pegaga Gajah



Kakak ipar bawakan secekak sayuran ini, dari rupanya memang taulah ia sejenis pegaga, tetapi ini kali pertama aku melihat ia sebesar ini. Daun nya selebar tapak tangan dan tangkainya pula hampir sekaki. Memang terlopong dibuatnya, kata kakak ipar sedap dibuat gulai. Maka aku pun menggulailah, dan mengundang kakak ipar untuk makan sama.


Beginilah rupanya setelah digulai masak lemak cili api. kerana batangnya yang panjang, maka aku potong dan bentukan simpulan yang kecil.


Dan dilengkapkan pula dengan goreng ikan kembung, goreng ayam, goreng ikan masin, dan sambal tempoyak mentah... huhu...

Memang sedap rasanya sayur pegaga gajah ini, aku tak tau apakah memang ia dipanggil 'pegaga gajah' atau ada nama lain. Kata kakak ipar ia tumbuh di atas tanah sahaja. Kalau berkesempatan, aku nak tanam ia di kampung.